FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Harga kawalan baharu bagi kit ujian pantas kendiri Covid-19 dijangka diumumkan selewat-lewatnya Disember depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk mengumumkan harga baharu itu lebih awal berikutan kadar permintaan dan penggunaannya dijangka meningkat berbanding sekarang.

Katanya, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat di bawah fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta kelonggaran lain yang bakal diumumkan kerajaan menjadikan kit berkenaan sebagai alatan perubatan penting untuk orang ramai membuat pemeriksaan status kesihatan bagi memastikan diri bebas daripada jangkitan Covid-19.

"Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri Covid-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat.

"Disebabkan itu kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan setiap lapisan pengguna mampu mendapatkan kit ini pada harga lebih baik dan dalam masa sama tidak mengabaikan kepentingan dan kelangsungan perniagaan pemain industri yang terbabit.

"Justeru, kementerian giat mengadakan libat urus dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam penetapan harga baru kit ujian kendiri ini dari semasa ke semasa," katanya ketika ditemui pada program Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bersama Persatuan Bot Pelancong di Tasik Kenyir, di sini semalam.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, sejak penguatkuasaan harga maksimum kit ujian itu bermula 5 September lalu, sehingga kini penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah menjalankan pemeriksaan di 3,106 premis di seluruh negara.

"Dalam pemeriksaan itu kita dapati terdapat 348 premis yang menjual alatan itu di bawah paras harga kawalan, manakala 2,554 premis pula mematuhi harga kawalan ditetapkan. Kita gembira dengan kerjasama baik daripada pemain industri ini.

"Kementerian turut memberi jaminan bekalan kit ujian di pasaran mencukupi dengan lebih enam juta bekalan alatan itu berada di pasaran untuk dibeli orang ramai," katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang agresif mendapatkan maklumat mengenai premis seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka yang akan dibenarkan menjual kit ujian itu dijangka bermula pertengahan Oktober ini.

"Kita perlu pastikan mereka ini mempunyai maklumat mencukupi mengenai syarat jualan termasuk mematuhi aspek pelabelan produk dan kaedah pengendaliannya bagi memudahkan orang ramai.

"Kita mahu pastikan pengguna boleh mendapatkan kit ujian kendiri ini dengan lebih mudah di premis yang menjadi tumpuan, namun premis ini perlu menepati syarat untuk menjual alatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 8:38 AM