Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Tindakan kompaun terhadap mana-mana peniaga yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga runcit ditetapkan akan bermula pada 12 September ini.

KIT ujian pantas antigen Covid-19 kini dijual pada harga RM 19.90 seunit di setiap farmasi ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Bernama
KIT ujian pantas antigen Covid-19 kini dijual pada harga RM 19.90 seunit di setiap farmasi ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Bernama

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan yang menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh selama seminggu untuk peniaga menjual stok lama kit berkenaan sebelum tindakan tegas diambil kepada mana-mana pihak yang ingkar.

"Harga siling itu berkuat kuasa esok dan kita di kementerian akan beri tempoh selama seminggu kepada peniaga untuk jual stok yang mereka beli dengan harga lama.

"Dalam tempoh seminggu ini, kita akan beri amaran terlebih dahulu jika ada yang menjual melebihi harga siling ditetapkan dan bermula 12 September depan, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kelonggaran ini supaya mereka (peniaga) dapat menghabiskan stok yang ada sekali gus memastikan mereka tidak menanggung kerugian terlalu besar atau mendapat kembali modal," katanya ketika melawat Projek Kelompok Ternakan Ikan Kumpulan Generasi Kedua Felda Bukit Bading, Ajil, di sini, hari ini.

ROSOL (kanan) disaksikan Azhar melepaskan benih ikan talapia ke dalam kolam pada progran Projek Kelompok Kolam Ikan Air Tawar Genarasi Kedua Felda Bukit Bading. FOTO Baharom Bakar
ROSOL (kanan) disaksikan Azhar melepaskan benih ikan talapia ke dalam kolam pada progran Projek Kelompok Kolam Ikan Air Tawar Genarasi Kedua Felda Bukit Bading. FOTO Baharom Bakar

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kit ujian palsu setakat ini.

Menurutnya, pengguna yang menjadi mangsa penipuan diminta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membolehkan tindakan diambil.

"Setakat ini, tiada laporan secara rasmi, cuma kita ada dapat maklumat ada kit ujian Covid-19 palsu yang dijual dengan harga mahal.

"Jadi mana-mana pengguna yang menjadi mangsa atau rasa tertipu boleh lapor pada kita dan yang penting, simpan resit pembelian sebagai bukti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:55 PM