GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Pembukaan sekolah di Sarawak dijangka tidak berdepan masalah memandangkan tiada isu guru yang enggan divaksin.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah berkata, walaupun mungkin ada guru yang belum divaksin, bilangannya sangat kecil.

"Saya fikir kita tidak ada masalah menjelang pembukaan sekolah nanti.

"Hampir semua guru divaksin sekurang-kurangnya satu dos," katanya yang dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru guru-guru yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 agar segera berbuat sedemikian sebelum pembukaan sekolah.

"Penting bagi semua guru menerima vaksin kerana kita golongan yang akan berhadapan dengan begitu ramai murid nanti.

"Guru harus memastikan semua murid dilindungi dan salah satu caranya adalah dengan mendapatkan vaksin.

"Kita mesti menjadi suri teladan dan contoh yang baik kepada murid," katanya.

Adam berkata, STU juga berharap semua guru membuat persediaan yang rapi untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah nanti.

Katanya, dengan berbuat sedemikian, proses PdP tidak lagi terganggu dan boleh terus dilaksanakan.

"STU juga berharap semua guru memberi perhatian terhadap perancangan sekolah, Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan agar tidak terlepas daripada sebarang aktiviti yang perlu dilakukan di sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata STU berharap dengan pembukaan sekolah nanti, pelajar yang layak juga akan diberi vaksin.

Justeru, katanya semua ibu bapa dimohon memberi sokongan terhadap proses vaksinasi kepada anak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 4:16 PM