FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Melvin Joni


Kuching: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mendesak agar tindakan segera diambil terhadap guru yang melakukan pemeriksaan 'datang bulan' ke atas pelajar.

Presiden STU Adam Prakash Abdullah berkata, tindakan itu melanggar hak asasi manusia, dan sangat tidak wajar serta menjatuhkan maruah pelajar.

"Menggunakan alasan pemeriksaan fizikal untuk melakukan atas nama disiplin dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak wajar dalam apa juga situasi, budaya atau agama.

"STU berharap guru yang terbabit atas alasan apa sekalipun diambil tindakan secepat mungkin.

"Kita tidak mahu kerjaya yang murni ini dicemari oleh segelintir guru yang tidak bertanggungjawab dan mengakibatkan guru dipandang serong oleh masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu di mana beberapa pelajar mendedahkan amalan pemeriksaan 'datang bulan' di sekolah, yang mana mereka turut mendakwa diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Adam berkata, sistem pendidikan seharusnya memberi penekanan mengenai nilai murni, keselamatan, memelihara integriti, amalan bertanggungjawab dan sentiasa saling menghormati.

"Pelajar harus dijaga keselamatannya di sekolah dan dilindungi daripada sebarang bentuk bahaya atau penderaan.

"Ini kerana ibu bapa menyerahkan anak-anak kepada pihak guru untuk dibimbing, dididik dan dibentuk menjadi sempurna maka sekolah seharusnya menjadi tempat yang sangat selamat selepas rumah mereka," katanya.

Katanya, semua guru harus mengamalkan nilai murni yang tinggi serta menjadi teladan kepada pelajar dan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:16 PM