Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Melvin Joni


Kuching: Kesatuan Guru Sarawak (STU) berharap pengambilan khas guru secara 'one-off' memberi keutamaan kepada anak tempatan Sarawak sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan guru yang sekian lama membelenggu negeri ini.

Presidennya, Adam Prakash Abdullah berkata, pihaknya berharap semua kekosongan guru di Sarawak dapat diisi di bawah program berkenaan, memandangkan Sarawak mempunyai kekurangan 3,000 orang guru pada masa ini.

"STU berharap dengan adanya pengambilan khas itu nanti, semua sekolah di Sarawak akan mempunyai bilangan guru yang mencukupi berdasarkan peruntukan penjawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada anak Sarawak yang berkelayakan untuk berkhidmat sekali gus memudahkan penempatan guru di negeri ini.

Justeru, Adam berkata STU berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak dalam urusan berkenaan demi memastikan kejayaan program itu.

Dalam pada itu, beliau berkata STU menggalakkan siswazah yang belum mendapat kerja tetap dan berminat menjadi guru yang berada di Sarawak mengambil peluang berkenaan.

Pada masa sama, katanya KPM juga harus melihat dan meneliti senarai siswazah yang dilatih seperti dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) diberi penempatan memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan latihan dalam bidang perguruan.

"STU berharap KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyediakan garis panduan permohonan yang jelas kepada calon supaya tiada calon disingkirkan semasa pemilihan kerana tidak mematuhi syarat dan garis panduan permohonan," katanya.

Hari ini Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya akan melakukan pengambilan khas 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG41 secara 'one off' bagi mengatasi masalah kritikal kekurangan guru terutama di empat negeri.

Katanya empat negeri itu ialah Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah yang berdepan dengan kekurangan guru paling tinggi ketika ini.

"KPM akan mengeluarkan iklan tawaran pada 7 Julai ini dan penempatan bakal guru secara berperingkat akan dibuat bermula Oktober.

"Pengambilan guru terbesar dalam tempoh singkat ini bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diselesaikan kerana sudah berlarutan agak lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 3:51 PM