Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 90 peratus daripada 14,500 warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah selesai mendapatkan dua dos suntikan pelalian Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, baki 10 peratus lagi adalah yang baru menerima dos pertama dan akan menyasarkan peratusan lengkap dalam masa terdekat.

"Sasaran kita memang 100 peratus sebab tugasan atau operasi dalam pasukan perlukan semua anggota mendapatkan dua dos vaksin terutama penugasan ketika banjir nanti.

"Pelalian vaksin Covid-19 adalah mandatori bagi warga JBPM dan setakat ini tiada yang enggan menerima suntikan kecuali yang mempunyai masalah kesihatan dan isu teknikal seperti tiada aplikasi MySejahtera.

"Bagi yang mempunyai masalah teknikal sebegitu, kita minta guna alternatif lain sama ada mendaftar menerusi telefon bimbit ahli keluarga atau di kaunter pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di Tunjong di sini, hari ini.

DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid  (kiri) membuat pemeriksaan Kawalan Kehormatan Suku  ketika hadir lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid (kiri) membuat pemeriksaan Kawalan Kehormatan Suku ketika hadir lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mohammad Hamdan berkata, setakat ini seramai 125 pegawai dan anggotanya disahkan positif Covid-19 dan menjalankan kurantin kendiri.

Katanya, mereka yang positif itu dikenalpasti menerima jangkitan bukan ketika bertugas sebaliknya penularan daripada komuniti.

"Bermula Mac tahun lalu hingga kini semua warga JBPM yang positif Covid-19 adalah melalui komuniti contohnya pasangan yang bekerja di hospital.

"Setakat ini kami belum menerima laporan mengenai jangkitan ketika bertugas kerana sepanjang penugasan, kami menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pakaian perlindungan diri (PPE)," katanya.

Terdahulu beliau hadir di ibu pejabat JBPM di sini sempena dua hari lawatan kerja dan yang mana semalam beliau membuat pemantauan untuk program Vaksinasi Mobil kepada penduduk Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang.

Yang turut hadir ialah Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Beliau berkata, kehadiran pasukan bomba dalam program itu adalah untuk memastikan pemberian vaksin Covid-19 mencapai kepada peratusan ditetapkan kerajaan dan kira-kira 100 penduduk Orang Asli di Pos Gob menerima suntikan vaksin dos pertama semalam.

"Pada masa yang sama, turut diadakan kempen keselamatan dan pencegahan kebakaran untuk masyarakat di sana dengan memberi tips kepada mereka sebagai persediaan jika berdepan dengan kebakaran kerana lokasi mereka yang jauh di pedalaman dan sukar jika menggunakan pengangkutan darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:38 PM