Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melakukan pembersihan data untuk menyelesaikan masalah sijil digital Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebagai penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), pihaknya dan KKM akan bekerjasama erat dan komited memperoleh penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Katanya, mana-mana data yang sudah dibersihkan akan diberikan kepada saluran sistem yang ditetapkan untuk membolehkan sijil digital vaksin dikeluarkan.

"Terdapat tiga faktor yang dikenal pasti antara punca penerima masih belum mempunyai sijil digital vaksin iaitu apabila petugas menyuntik ratusan ribu vaksin setiap hari, ada berlaku di mana nombor siri vaksin tidak dikemaskini di akhir proses oleh individu di stesen vaksinasi yang akhir.

"Selain itu, terdapat juga kesilapan maklumat ketika mengisi pendaftaran di MySejahtera seperti ejaan nama yang berbeza atau nombor kad pengenalan tidak lengkap berbanding data di Jabatan Pendaftaran Negara.

Dr Adham Baba (dua dari kiri) diriingi Ahmad Yakob (kanan) melihat petugas memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Tunjung, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Adham Baba (dua dari kiri) diriingi Ahmad Yakob (kanan) melihat petugas memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Tunjung, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Malah, ada juga data yang diterima daripada program vaksinasi di luar PICK seperti kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan dan penerima vaksin dari luar negara, yang mana data-data berkenaan tidak melalui saluran sistem PICK," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Katamya, data-data berkenaan perlu disahkan dan dikemaskini menyebabkan sijil digital vaksin tidak dapat dikeluarkan serta-merta.

Media sebelum ini melaporkan, pasukan aplikasi MySejahtera diberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan kes penerima tidak mempunyai sijil digital vaksin, biarpun lengkap dua dos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 5:26 PM