Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kira-kira dua peratus daripada keseluruhan 15,000 warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara direkodkan masih enggan mengambil vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, angka itu tidak sampai 50 orang berbanding jumlah anggota yang sudah melengkapkan dua dos vaksin iaitu kira-kira 95 peratus.

Beliau berkata, antara alasan diberikan oleh anggota terbabit adalah berkaitan soal agama dan bimbang kesan pengambilan vaksin terhadap diri selain ada yang dipercayai terpengaruh dengan gerakan anti vaksin.

DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Menurut beliau, antara langkah dilakukan pihaknya adalah memberi kaunseling dan penerangan kepada anggota terbabit mengenai kesukaran yang bakal dihadapi jika tidak mengambil vaksin Covid-19.

"Kita pergi dari negeri ke negeri yang mana pengarah JBPM akan beri kaunseling, penerangan dan kepayahan yang setiap anggota akan hadapi jika tidak mengambil vaksin.

"Sebab di balai ini, mereka bekerja sebagai satu pasukan. Dia masuk dalam jentera enam orang, tidak boleh asing-asingkan diri.

"Di dalam balai pun ada (aplikasi) MySejahtera, jika MySejahtera individu itu berwarna lain daripada yang ditetapkan, mungkin dia tidak boleh masuk ke balai. Ini contoh kesukaran yang akan anggota hadapi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka di Bukit Katil dekat sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican dan Naina Merican serta Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mohammad Hamdan berkata, sesi kaunseling dijalankan pihaknya memberi kesan positif apabila ada anggota yang mengubah fikiran dan bersetuju mengambil vaksin.

"Namun saya tidak nafikan ada sebahagian yang masih lagi dalam proses kaunseling.

"Selepas kaunseling pertama, kedua dan ketiga, mungkin kita minta dia beri representasi mengapa tidak boleh diambil tindakan tatatertib dan kita akan pertimbangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 4:02 PM