FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti laporan penerokaan hutan secara haram yang diperoleh daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pihaknya sebelum ini menerima beberapa maklumat mengenai pencerobohan hutan namun tidak dapat dibuktikan berlaku rasuah dalam kalangan penguat kuasa.

Ini kerana, kata beliau, SPRM kurang mendapat kerjasama daripada orang awam untuk membuktikan ada berlaku kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Setakat ini, SPRM Kedah belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan isu terkini berkaitan penerokaan hutan secara haram di Kedah.

"Kita akan ambil tindakan dengan membuka kertas siasatan jika didapati ada asas berlaku kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau mana-mana undang-undang di bawah bidang kuasa SPRM," katanya dihubungi hari ini.

Shaharom Nizam berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan aktiviti penerokaan haram di Kedah dapat dihapuskan.

Katanya, SPRM juga sebelum ini turut bersama JPNK dan agensi kerajaan lain dalam beberapa siri operasi bersama membanteras kegiatan haram terbabit.

"SPRM Kedah menggesa pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah supaya menyalurkannya kepada kami untuk tindakan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan penyelewengan terutamanya berkaitan alam sekitar," tegas beliau.

Ahad lalu, media melaporkan, JPNK mengenal pasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini diteroka secara haram sejak 2011.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, penerokaan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu kebanyakannya bagi tujuan pertanian seperti tanaman kelapa sawit, durian dan getah selain pembinaan kawasan penempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:34 PM