JENTERA yang digunakan untuk meratakan tanah turut disita untuk membantu siasatan JPNK. FOTO ihsan JPNK
JENTERA yang digunakan untuk meratakan tanah turut disita untuk membantu siasatan JPNK. FOTO ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang lelaki ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) ketika sedang leka meratakan Hutan Simpan Terenas, Sik di kompartmen 12, di sini, secara haram semalam.

Pengarah JPNK Muhamad Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 49 tahun itu percayai mengambil upah meratakan tanah di kawasan itu menggunakan jengkaut miliknya untuk menanam pokok getah.

"Pasukan bertugas melakukan serbuan selepas menerima aduan awam jam 10.30 pagi dan pemeriksaan mendapati kira-kira satu hektar tanah sudah diratakan dipercayai dilakukan sejak tiga hari lalu.

"Akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram, kerugian dianggarkan mencecah RM80,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk siasatan lanjut oleh JPNK.

Katanya, sebuah jentera jenis Excavotar Sumitomo yang digunakan untuk kerja merata dan membersihkan tanah turut disita.

"Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu di bawah Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, menanda atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muhamad berkata, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Katanya, dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"JPNK memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal terutama mereka yang mengambil kesempatan menceroboh hutan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan.

"Bagi memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan, penerokaan dan pencerobohan Hutan Simpanan Kekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 10:36 AM