Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Jaafar Mahad (tengah) menyaksikan Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas antara Mohd Fauzi (kiri) kepada
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesionalisme SPRM, Datuk Jaafar Mahad (tengah) menyaksikan Penyerahan Dokumen Serah Terima Tugas antara Mohd Fauzi (kiri) kepada
Noorazura Abdul Rahman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bercadang menubuhkan pasukan khas memantau salah laku berkaitan rasuah membabitkan penjawat awam negeri itu.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, badan bertindak itu adalah inisiatif baru yang dilihat dapat membantu mengurangkan kes rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.

“Kita akan adakan pertemuan rasmi dengan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus negeri untuk mencadangkan

penubuhan task force (pasukan khas) ini selain berbincang mengenai usaha SPRM dalam membanteras rasuah.

“Pada masa sama kita akan berjumpa Menteri Besar untuk berbincang mengenai hal ini termasuklah pendekatan baru untuk menambah baik usaha SPRM sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Negeri di Alor Setar hari ini.

Shaharom Nizam yang sebelum ini Pengarah SPRM Sabah dilantik Pengarah SPRM Kedah yang baru menggantikan Datuk Mohd Fauzi Mohamad yang bertukar ke Perak.

Sementara itu Mohd Fauzi ketika berucap pada majlis itu berkata, antara 55 tangkapan yang dibuat pada 2018, 29 penjawat awam yang ditahan terdiri daripada 15 kakitangan kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala 14 lagi kumpulan sokongan.

Katanya, sejak Januari sehingga semalam pula, 36 individu ditahan termasuk lapan penjawat awam dari kumpulan Pengurusan dan Profesional.

“Sebanyak 24 kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM (ASPRM) 2009 kerana membuat tuntutan palsu dan tiga kes disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk suapan.

“Masing-masing dua kes membabitkan Seksyen 17b akta sama memberi dan menerima rasuah serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 9:38 PM