BERNAMA

Bukit Kayu Hitam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah setakat ini tidak menerima sebarang laporan atau maklumat berkaitan rasuah di sempadan negara khususnya di negeri ini yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap menegaskan pihaknya akan terus memantau perkara itu dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya melaporkan kepada suruhanjaya berkenaan.

"Kalau setakat orang bercakap itu ada, tetapi laporan dan maklumat sebenar tiada lagi. Jadi, kami minta kerjasama orang awam untuk melaporkan kepada SPRM sekiranya ada maklumat berkaitan kes rasuah atau salah guna kuasa di kawasan sempadan.

"Jangan bimbang dan takut untuk melaporkan kesalahan-kesalahan ini kerana identiti pengadu tidak didedahkan sama sekali. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan rasuah akan dikenakan tindakan, tiada pihak yang terkecuali," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020 di sini, hari ini.

Beliau menjawab persoalan sama ada pihaknya ada menerima laporan berhubung rasuah atau salah guna kuasa oleh anggota atau petugas agensi keselamatan yang mengawal sempadan negara.

Sementara itu, Shaharom Nizam berkata, sebanyak 73 individu termasuk 30 penjawat awam telah ditahan di negeri ini atas kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan tuntutan palsu bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November lalu.

Katanya, daripada jumlah itu juga sebanyak 25 pekerja swasta dan 18 orang awam turut ditahan dan pelbagai aset bernilai RM1.6 juta telah dibekukan.

"Sepanjang tempoh itu juga SPRM Kedah telah menerima sebanyak 339 maklumat berkaitan kes rasuah dengan 163 maklumat telah dibuka kertas siasatan manakala, 176 maklumat adalah tindakan bukan siasatan," katanya.

SHAHAROM Nizam meletakkan pelekat "Jangan Rasuah" di cermin lori sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). FOTO Amran Hamid
SHAHAROM Nizam meletakkan pelekat "Jangan Rasuah" di cermin lori sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). FOTO Amran Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:13 PM