Hujan lebat menyebabkan banjir kilat Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih kelmarin. FOTO Ihsan penduduk
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat Kampung Batu 5 Bangi, Semenyih kelmarin. FOTO Ihsan penduduk
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semenyih: Sebuah kolam takungan kini dalam pembinaan di projek perumahan Alam Sari bagi mengatasi banjir kilat di Kampung Batu 5 Bangi, di sini.

Pengarah Urusan KL East Sdn Bhd, Soh Wai Fong berkata, projek berkenaan adalah penyelesaian jangka panjang yang dijangka siap antara lapan hingga 12 bulan lagi.

Menurutnya, sistem saliran antara projek perumahan berkenaan dan kampung yang terjejas juga akan ditambah baik.

"Kolam takungan kini dalam pembinaan dan mampu tampung kapasiti air ketika hujan lebat daripada melimpah.

"Kolam itu juga kelak akan mengalirkan lebihan air terus ke Sungai Semenyih dan mampu elak banjir daripada berlaku di kampung berhampiran," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah membersihkan saluran parit yang mempunyai sisa kayu dan sampah menyebabkan limpahan air.

Katanya, penduduk diharap dapat bersabar kerana projek sedikit perlahan kerana tergendala beberapa kali ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, akhbar ini melaporkan banjir kilat berlumpur masuk ke dalam rumah penduduk Kampung Batu 5 Bangi, dekat sini kelmarin.

Kejadian itu sudah beberapa kali berlaku disebabkan aliran air yang tinggi dari projek perumahan berhampiran.

Penduduk mendesak satu penyelesaian jangka panjang segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 1:15 PM