Mohd Sany (tengah) berbincang bersama penduduk dan ketua kampung bagi mengatasi banjir kilat di beberapa buah kampung di kawasan itu.FOTO Samadi Ahmad
Mohd Sany (tengah) berbincang bersama penduduk dan ketua kampung bagi mengatasi banjir kilat di beberapa buah kampung di kawasan itu.FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Semenyih: Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan untuk mengenal pasti punca berlaku banjir kilat di beberapa lokasi di kawasan ini bagi mencari penyelesaian jangka panjang sekali gus mengelak kejadian berulang.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan dan agensi berkaitan bagi menangani isu ini dengan segera, minggu depan.

Menurutnya, sebuah badan perunding perlu dilantik untuk meneliti secara keseluruhan masalah banjir kilat dan diberikan tempoh antara tiga hingga enam bulan untuk menyiapkan dan menyerahkan laporan.

"Bukan kita tidak percaya kepada agensi kerajaan yang ada, tetapi kita bimbang mereka akan menuding jari di antara satu sama lain bagi mencari kesalahan daripada apa yang berlaku.

"Selepas keputusan selesai, baharulah kita mengetahui dan melihat di mana kelemahan serta kekurangan yang perlu diatasi segera bagi keselesaaan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi mengatasi banjir kilat di beberapa kampung dalam kawasan Semenyih di Kompleks Penghulu Mukim Semenyih, di sini, semalam.

Pada Rabu lalu, beberapa rumah di Sungai Kembung Hulu dan Hilir, Batu 3 serta Batu 5 dinaiki air selepas hujan lebat.

Penduduk mendakwa banjir kilat sering berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini dipercayai akibat projek pembangunan perumahan berhampiran yang tidak menyediakan saliran air dengan betul.

Mohd Sany berkata, agensi yang berkepentingan dalam menangani masalah ini juga perlu bekerjasama dengan pihak perunding yang akan dilantik dan kos membiayainya mungkin boleh dibincangkan sesama mereka kerana ia membabitkan bajet.

Menurutnya, pada pandangannya masalah banjir kilat ini tidak boleh dilihat hanya dari segi kolam takungan air pemaju, ban pecah, parit kampung dan kolong bawah tanah yang kecil sahaja, malah ia membabitkan banyak aspek.

"Dapatan kajian itu akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

"Kita berharap (penyelesaian) dapat disempurnakan segera supaya penduduk boleh menjalani kehidupan yang selesa di masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 12:02 PM