Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Saya dapat mengagak penempatan ini akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) apabila melihat jumlah kes Covid-19 melalui Hotspot di aplikasi MySejahtera yang menunjukkan jangkitan bertambah kepada 27 kes sehari," kata seorang guru, Rohana Abdullah, 39.

Rohana berkata, dia setuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Repek bermula hari ini, kerana 'gerun' apabila melihat ambulans keluar masuk mengambil pesakit Covid-19 hampir setiap hari.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka PKPD akan dikuatkuasakan di kampungnya, namun sudah membuat persiapan awal bukan sahaja dengan membeli keperluan harian tetapi juga persediaan fizikal dan mental untuk berhadapan tempoh PKPD.

"Ini kali pertama kampung kami menjalani PKPD, memang ada penduduk yang gelisah memikirkan urusan kerja mereka seharian, tidak kurang juga kumpulan peniaga yang tertanya-tanya jika mereka boleh berniaga atau tidak.

"Bagaimanapun, saya yakin kami dapat menempuh tempoh PKPD dengan baik memandangkan ia jalan terbaik bagi memastikan penularan wabak tidak terus berlaku.

"Tidak dapat saya gambarkan perasaan takut dan bimbang apabila semakin hari semakin ramai jiran terdekat yang dijangkiti Covid-19, malah lebih memilukan apabila ada juga yang meninggal dunia asbab wabak ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini melaporkan PKPD di Kelantan bermula hari ini, membabitkan Mukim Pasir Mas iaitu Kampung Bayu Lalang dan Kampung Banggol Kemian (sebahagian kampung), selain Mukim Gual Periok iaitu Kampung Repek (sebahagian kampung).

PETUGAS kesihatan membuat persiapan susulan  pelaksanaan PKPD di Kampung Repek bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
PETUGAS kesihatan membuat persiapan susulan pelaksanaan PKPD di Kampung Repek bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Peniaga, Nabiha Abd Aziz, 30, mengakui agak terkilan kerana baru membuka kedai tudung miliknya seminggu lalu, namun terpaksa tutup semula susulan pelaksanaan PKPD.

"Tetapi demi keselamatan bersama saya akur dengan saranan kerajaan dan dalam masa yang sama berharap agar semuanya segera pulih kerana tidak mahu lagi dibelenggu dengan ketakutan oleh wabak ini.

"Saya sendiri berasa sayu melihat khemah dipasang... menandakan PKPD bakal bermula tetapi reda dan berdoa semoga dapat melaluinya dengan baik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya akan terus mengawal ketat PKPD di kampung yang terbabit di daerah berkenaan selain memastikan penduduk mengikut arahan yang ditetapkan.

Katanya, PKPD bukan sengaja dilakukan untuk menyusahkan penduduk tetapi dengan matlamat mengurangkan kes serta memastikan penularan wabak tidak lagi berlaku demi keselamatan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 11:56 AM