FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Angka kes baharu semakin meningkat di Kuala Terengganu memungkinkan daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) menunjukkan Kuala Terengganu menjadi daerah kedua tertinggi selepas Besut apabila mencatatkan 52 kes baharu Covid-19 dengan bilangan kes aktif sebanyak 309 kes, manakala jumlah kumulatif kes 1,217 kes, semalam.

Justeru, polis negeri ini menggesa masyarakat agar meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan dalam usaha mengurangkan peningkatan kes.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, masyarakat perlu sedar terhadap ancaman virus Covid-19 yang kini semakin mengganas.

"Saya sentiasa ingatkan Covid-19 bukan cerita rekaan, apa yang berlaku sekarang adalah kenyataan, jika kita terus mengabaikan SOP, tidak mustahil Kuala Terengganu menjadi daerah kedua diisytiharkan PKPD.

"Beberapa kampung di daerah Kuala Terengganu kini ke arah PKPD. Jika PKPD dilaksanakan, pergerakan semakin terbatas dan semua laluan keluar masuk akan ditutup manakala operasi perniagaan serta aktiviti lain tidak dibenarkan dalam kawasan PKPD.

"Justeru, saya menggesa agar masyarakat memandang serius serangan Covid-19 ini. Sebelum diisytiharkan PKPD, masyarakat mestilah mengambil langkah awal dengan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian virus ini daripada terus merebak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Roslee berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan kompaun kepada orang ramai yang gagal mematuhi SOP.

Beliau berkata, tindakan tegas itu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mematuhi SOP untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya, polis mengeluarkan 30 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan SOP di Besut, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 7:02 PM