Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperluaskan dua lagi kawasan di ibu kota bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bangunan Selangor Mansion dan bangunan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menjadi lokasi terbaru PKPD.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 15 kes positif jangkitan Covid-19 di bangunan berkenaan sehingga hari ini.

“Mengambil kira jumlah kes berkenaan, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan keempat PKPD.

“PKPD di dua bangunan itu membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu berkuat kuasa 7 April (hari ini) sehingga pengesanan tamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular dan sebagai langkah bagi aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa.

Katanya, menerusi pelaksanaan perintah ini penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuat kuasakan.

Beliau berkata, bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan sepanjang tempoh perintah dan semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis menjual barangan keperluan.

“Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar dan diambil di tempat yang ditetapkan manakala Pangkalan Perubatan dibuka di kawasan itu selain laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” katanya.

Sebelum ini kerajaan mengeluarkan PKPD di tiga kawasan iaitu di Kluang, Johor; Hulu Langat, Selangor dan Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    ANGGOTA polis memasang pita penghalang di lokasi Flat Selangor Mansion berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan berkenaan. FOTO Aswadi Alias.
    ANGGOTA polis memasang pita penghalang di lokasi Flat Selangor Mansion berikutan penemuan kes Covid-19 di bangunan berkenaan. FOTO Aswadi Alias.

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 2:59 PM