Siti Rohana Idris

Tumpat: Sebanyak 1.5 tan ikan tongkol diagihkan kepada 466 penduduk di lima kampung di gugusan pulau di sini hari ini.

Lima kampung yang terbabit adalah empat dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang iaitu Kampung Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri manakala sebuah lagi kampung berhampiran iaitu Pulau Seratus.

Sumbangan lauk mentah itu adalah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan diagihkan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Mohd Adanan berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengagihkan beberapa keperluan lain antaranya ayam mentah, lampin pakai buang, susu khas untuk bayi dan pesakit terlantar malah ketika PKPD pertama pada 22 Mei lalu juga, sebanyak 100 tong untuk mengisi air bersih disumbangkan.

"Apabila PKPD Mukim Sungai Pinang dilanjutkan pada 5 Jun lalu selama dua minggu lagi, bekalan makanan serta keperluan ditambahkan mengikut permintaan.

"Sumbangan ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sentiasa mengagihkan makanan kepada penduduk yang terkesan disebabkan PKPD," katanya ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini.

Mohd Adanan berkata, pengurusan kampung juga mengadakan konsep 'food bank' di Masjid Teluk Renjuna dengan meletakkan barangan asas termasuk makanan yang disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan malah penduduk boleh memberitahu pemimpin setempat jika memerlukan bantuan.

PROSES memunggah barangan makanan termasuk bakul makanan oleh Pasukan JBPM Kelantan bersama Anggota APM di atas bot ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PROSES memunggah barangan makanan termasuk bakul makanan oleh Pasukan JBPM Kelantan bersama Anggota APM di atas bot ketika ditemui di Jeti Kok Majid di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tinjauan yang dilakukan di Jeti Kok Majid hari ini mendapati situasi agak meriah dengan proses memunggah barangan makanan termasuk bakul makanan daripada JKM yang dilakukan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sukarelawan.

Proses menghantar ke semua kampung yang terpilih pula dilakukan oleh pasukan bomba dengan menggunakan bot jabatan dan agensi masing-masing bermula jam 10 pagi tadi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Kanan JKM Kelantan, Azizi Sazle Saleh berkata, setakat ini sudah tiga kali agihan bakul makanan sudah dibuat membabitkan 1,398 kotak kepada 466 penduduk di lima kampung itu dalam tempoh PKPD.

"Bakul makanan yang diagihkan mengandungi beras, telur, minyak masak, tepung gandum, gula, sardin, ikan bilis, budu, susu pekat manis, kicap dan sos yang bernilai RM100 untuk setiap keluarga.

"Selain bantuan JKM, penduduk kampung juga menerima banyak sumbangan barangan keperluan dari pelbagai pihak lain dan tidak timbul isu terputus bekalan atau tidak cukup makanan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 4:01 PM