GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Bukan hanya gagal menambah pendapatan, dua individu sebaliknya rugi sehingga RM35,988 apabila diperdaya pihak yang menawarkan pekerjaan sampingan tidak wujud.

Mereka masing-masing menyedari ditipu apabila tidak menerima manfaat dijanjikan dan membuat laporan polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama membabitkan wanita berusia 41 tahun dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Balok Baru, di sini yang ditawar kerja sambilan pada 22 Ogos lalu, dengan komisen 10 peratus bagi setiap pembayaran dibuat.

"Mulanya, mangsa menerima dua tugasan daripada suspek dan bayarannya dipulangkan bersama komisen hasil kerja itu yang menyebabkan mangsa mengambil 12 lagi tugasan lain dan membuat bayaran menerusi 12 transaksi berjumlah RM24,291 ke tiga akaun berbeza.

"Namun, sehingga kini mangsa tidak menerima komisen dijanji dan wangnya tidak dikembalikan. Suspek sebaliknya meminta dia membayar RM3,000 sebagai caj proses untuk mendapatkan semula wang yang sudah dibayar.

"Mangsa kehabisan wang dan menyedari ditipu, kemudian membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, kes kedua pula membabitkan pembantu kedai berusia 24 tahun dari Gambang, di sini yang diperdaya dengan modus operandi sama sejak 24 Ogos lalu, sehingga kerugian RM11,697.

"Mangsa juga membuat laporan polis semalam dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 2:57 PM