Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Hasrat seorang kerani meraih pendapatan sampingan hasil kerja sambilan sebagai ejen aplikasi pembelian dalam talian tidak kesampaian sebaliknya terpaksa menanggung kerugian RM31,000 setelah ditipu dalam urusan berkenaan.

Wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan yang diiklankan melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi syarikat berkenaan dan membuka akaun melalui pautan diberikan.

Menurutnya, setelah mempunyai akaun, mangsa mula melaksanakan tugasnya di mana dia hanya ditugaskan untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi yang disediakan.

"Mangsa dijanjikan komisyen dengan setiap tugas yang dilakukan itu.

"Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan yang akan memberi komisyen atau upah lebih tinggi, mangsa menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu," katanya melalui satu kenyataan media, semalam.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran berjumlah RM31,000 melalui lapan transaksi pindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa syak dia ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan.

"Hasil semakan ke atas nombor telefon dan akaun yang digunakan mendapati kedua-duanya bermasalah," katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, kelmarin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 8:58 AM