Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis Petaling Jaya menyiasat 104 kes penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian RM1,235,000 bagi tempoh enam bulan tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, ramai mangsa tampil membuat laporan polis membabitkan penipuan tawaran kerja.

Menurutnya, modus operandi sindiket ini menghantar WhatsApp kepada mangsa dengan menawarkan kerja sambilan serta menjanjikan komisen lumayan.

"Mangsa diberi tugasan untuk dilaksanakan dan diminta membuat bayaran kepada suspek melalui keldai akaun.

"Setelah bayaran dibuat, kononnya mangsa sudah berjaya menyelesaikan tugasan diberi dan mangsa dibayar komisen yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terpedaya dengan komisen diperoleh kali pertama, mangsa yakin dan meneruskan tugasan berikutnya dengan sejumlah bayaran lebih tinggi.

"Mangsa mula menyedari ditipu apabila bayaran komisen tidak diperolehi dan suspek gagal dihubungi.

"Polis meminta masyarakat lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan dalam jangka masa singkat," katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya menerima mesej bagi apa-apa tawaran semak dulu kesahihan sebelum bertindak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 11:34 AM