Syabu dan kenderaan suspek yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya. FOTO ihsan PDRM
Syabu dan kenderaan suspek yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Petaling Jaya. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Kegiatan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tangkapan pertama dilakukan jam 4.40 petang, Jumaat lalu di sebuah hotel di Sungai Way, di sini.

"Suspek berusia 45 tahun itu ditahan bersama syabu bernilai RM39,500 yang ditemukan dalam beg plastik.

"Dadah seberat 1,035 gram itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 2,070 penagih. Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek dia positif dadah jenis methamphetamin.

"Hasil semakan dilakukan juga mendapati suspek mempunyai 25 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di dalam sebuah kereta Proton Putra di kawasan parkir di daerah ini jam 1.50 pagi tadi.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan satu beg plastik mengandungi 20 paket kecil syabu seberat 260 gram di bahagian kerusi hadapan sebelah penumpang.

"Suspek juga positif dadah jenis methaphetamin selepas ujian saringan dilakukan. Kita percaya lelaki itu berperanan sebagai penghantar dadah.

"Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 1:55 PM