Mohd Redzuan (kiri) melihat dadah yang dirampas ketika sidang media di IPD Kulim. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Mohd Redzuan (kiri) melihat dadah yang dirampas ketika sidang media di IPD Kulim. FOTO IZAD THAQIF HASSAN
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Jual dadah di tanah perkuburan. Itu dilakukan seorang lelaki yang menjadikan Tanah Perkuburan Cina di Kampung Nagalilit, Padang Serai, dekat sini sebagai lokasi strategik menjual dadah kepada pelanggan.

Lelaki berusia 40 tahun terbabit menyangka kegiatan jenayah dilakukannya itu sukar dihidu polis kerana ia agak terlindung selain menjual kepada pelanggan yang hanya dikenali.

Bagaimanapun, dia ditahan selepas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah melakukan serbuan pada 10.35 pagi Jumaat lalu di kawasan tanah perkuburan itu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya merampas heroin seberat 95.25 gram (g) dan syabu (6.15g) yang jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,950.

"Suspek yang tidak bekerja itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan ujian air kencing mendapati dia turut positif morfin.

"Semua dadah yang dirampas iaitu 84 paket plastik lutsinar mengandungi heroin dan 15 paket plastik lutsinar mengandungi syabu ditemukan dalam beg silang dipakainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd Redzuan berkata sebanyak 35 kes berhubung kejayaan tangkapan dan rampasan dadah dilakukan sepanjang Op Selamat 18 dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim.

Menurutnya, sepanjang tempog itu, pihaknya berjaya merampas dadah serta air ketum bernilai RM36,384.

"Dalam Op Selamat itu, kita merampas heroin seberat 53.19 gram (g), syabu (341.54g) dan air ketum sebanyak 34.6 liter.

"Sepanjang tempoh Op Selamat itu, kita memang fokus kepada dadah serta arak kerana tidak mahu pemandu yang pulang ke destinasi masing-masing di musim perayaan berada dalam keadaan khayal sekali gus akan mengundang kejadian tidak diingini," katanya.

Untuk rekod, IPD Kulim menduduki tempat keempat terbaik secara keseluruhan dalam Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 18 sempena Aidilfitri lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 5:10 PM