GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis menahan dua lelaki kerana memiliki dadah dalam dua serbuan berasingan di Damansara Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan PJU 8/8 Damansara Perdana jam 5.30 petang semalam.

"Tangkapan itu dibuat ketika sepasukan polis membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan menemui satu plastik lut sinar disyaki syabu seberat 51 gram yang diserahkan sendiri oleh suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berusia 63 tahun dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana jam 7.30 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas plastik lut sinar mengandungi dadah jenis ganja seberat 10 gram yang diserahkan sendiri oleh suspek.

"Supek pertama disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 6 akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 1:01 PM