SULTAN Ibrahim Iskandar.. FOTO ihsan MEDKOM
SULTAN Ibrahim Iskandar.. FOTO ihsan MEDKOM
Mohamed Farid Noh
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga serta masyarakat.

Baginda bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.

"Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

"Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

"Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini.

"Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti," titah baginda menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Semalam, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang dilaporkan berkata, kira-kira 779 guru di negeri ini menolak menerima vaksin Covid-19.

Mazlan yang mendedahkan perkara itu ketika Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-14 dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan tentang kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.

Sultan Ibrahim berharap, semua rakyat Johor menerima vaksin lengkap segera supaya dapat kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini.

"Saya berharap supaya semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa," titah baginda.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 1:23 PM