Tuanku Ismail
Tuanku Ismail
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan berkenan menerima menghadap Pengarah Pendidikan Johor dan 779 guru enggan divaksin, Jumaat ini.

Tunku Ismail menerusi muat naik di akaun rasmi Facebook baginda bertitah, pertemuan itu akan diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini.

"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan guru berkenaan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

"Turut bersama-sama dalam pertemuan Jumaat itu nanti adalah Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani," titah baginda.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.

Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda semalam dilaporkan bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Mazlan ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, dilaporkan memaklumkan kira-kira 779 guru di negeri ini menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Mazlan dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan tentang kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit akan menerima vaksin.

"Kerajaan Johor akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 4:22 PM