Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid serta jurunikah di Selangor yang berdegil dan enggan divaksin berdepan kemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah, baginda amat dukacita dengan golongan yang memilih untuk tidak mahu divaksin, kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.

"Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan pelajar.

"Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid-19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian.

"Malah Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin," demikian titah baginda menerusi facebook rasmi Selangor Royal Office tadi.

Justeru itu, baginda mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

"Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga sudah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai maklumat pengambilan vaksin covid-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Selangor di bawah pentadbiran JAIS.

"Beta difahamkan seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian.

"Seramai sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.

"Beta berharap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dapat menyegerakan proses vaksinasi COVID-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Selangor," demikian titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga difahamkan terdapat 268 guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor yang juga enggan divaksin.

"Ini juga boleh membahayakan pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan i Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

"Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar perubatan mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

"Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan," titah baginda.

Baginda juga mengingatkan bahawa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

"Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.

"Akhirnya Beta menyeru kepada seluruh rakyat di Selangor ini supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat di sekelilling.

"Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala supaya pandemik Covid-19 ini akan berakhir dengan segera dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:17 PM