Mazlan Bujang (tengah) meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini, hari ini. FOTO IHSAN EXCO
Mazlan Bujang (tengah) meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini, hari ini. FOTO IHSAN EXCO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 563 guru di negeri ini masih menolak untuk divaksin dengan alasan termasuk faktor kesihatan.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata, seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun masih enggan berbuat demikian walaupun sudah dinasihatkan.

Katanya, kebanyakan mereka yang enggan divaksin adalah guru wanita termasuk sedang hamil dengan kebimbangan utama mereka suntikan vaksinasi menjejaskan kandungan serta kesihatan mereka.

"Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Namun, guru wanita berkenaan berjanji mengambil suntikan vaksin selepas bersalin sekali gus menegaskan bukan anti vaksin.

"Daripada jumlah 563 itu, seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun masih enggan berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya di sini, hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sebelum ini mendedahkan 779 guru di Johor menolak untuk divaksinasi.

Susulan itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mencari penyelesaian isu itu di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini, pada 27 Ogos lalu.

Sementara itu, Mazlan berkata, bagi 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan lanjut.

Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di Johor.

Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor yang sanggup bertemu guru yang enggan divaksin itu.

"Kita lihat selepas perjumpaan Tunku Ismail jumlah guru menolak vaksin berkurangan dan perjumpaan ini menampakkan kesannya.

"Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana (mengambil vaksin) dan memberitahu persepsi dan pendapat baginda sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 1:19 PM