Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 96.5 peratus guru di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19, manakala 68.8 peratus pula lengkap dua dos.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jumlah keseluruhan guru adalah 412,000 dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 100 peratus guru di negara ini untuk menerima suntikan vaksin.

"Bagi kakitangan sokongan di sekolah pula, sebanyak 84.8 peratus sudah menerima satu dos vaksin dan 68.8 peratus lengkap dua dos vaksin.

"Kita mahu menjadikan sekolah tempat yang paling selamat untuk semua murid kerana golongan ini belum menerima vaksin maka, saya berharap 100 peratus guru akan lengkap dua dos.

"Sekiranya ada guru yang antivaksin, mereka akan diminta menghadap TMJ (Tengku Mahkota Johor)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Khairy berkata, kerajaan tidak akan mewajibkan suntikan vaksin namun menggalakkan pekerja setiap sektor untuk mendapatkan vaskin.

Sebelum ini, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah seramai 396 guru daripada keseluruhan 779 guru yang menolak untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di negeri itu menggunakan alasan ragu-ragu dengan vaksin berkenaan manakala selebihnya dikatakan menolak berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Tunku Ismail sebelum itu bertitah agar kesemua 779 guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima suntikan vaksin menghadap baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 8:29 PM