Gambar hiasan, orang ramai termasuk warga asing beratur untuk mendapatkan vaksin secara walk-in. FOTO Saifullizan Tamadi.
Gambar hiasan, orang ramai termasuk warga asing beratur untuk mendapatkan vaksin secara walk-in. FOTO Saifullizan Tamadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua sesi pemberian vaksin Covid-19 secara walk-in atau jumpa terus tanpa janji temu akan dilaksana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) di sini.

Ia susulan PPV itu yang dibanjiri pekerja asing daripada sektor perindustrian dan pembangunan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, warga asing itu membanjiri kawasan PPV seawal 4 pagi, malah gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

"Walau sudah berulang kali diberi nasihat dan teguran tapi mereka gagal patuh SOP, maka suatu tindakan drastik diambil dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada 2 petang untuk mendapatkan vaksin.

"Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil juga bersetuju dengan nasihat polis supaya membuat dua sesi walk-in bagi individu bukan warga negara iaitu pada sesi pagi dan juga petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya juga menambah kekuatan untuk mengawal situasi di PPV itu berikutan tarikh mendapatkan vaksin bagi individu bukan warga negara akan berakhir pada esok.

Katanya, tambahan itu bagi memastikan semua petugas dan masyarakat setempat serta warga asing yang hadir merasa selamat daripada penularan wabak Covid-19 selari dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan 'posting' (hantaran) tular ini kerana bimbang akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 11:28 PM