GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hanya sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibenarkan melaksanakan pemberian vaksin secara terus tanpa janji temu atau walk-in di Lembah Klang pada 2 Ogos ini.

Menerusi kenyataan media Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini, PPV menerima individu tanpa janji temu itu ialah KL Convention Centre (HCO F, HCO G dan HCO H); Bangi Avenue Convention Centre (BACC); Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Untuk mendapatkan alamat penuh PPV yang disebutkan itu, katanya, orang ramai boleh merujuk di www.vaksincovid.gov.my/ppv/.

"Antara dokumen yang diperlukan ialah bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang. Contohnya seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain lagi.

"Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka komorbid seperti kad rawatan atau kad janji temu.

"First-come-first-serve basis (mendahulukan siapa yang cepat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV yang mana individu walk-in akan diletakkan di bawah senarai menunggu untuk hadir semula pada keesokannya sekiranya bekalan vaksin pada hari berkenaan habis digunakan," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan terdapat dua kaedah pelaksanaan iaitu vaksinasi secara walk-in di PPV terpilih di Lembah Klang dan melalui program jangkauan (outreach programmes) ke kawasan di pinggiran Lembah Klang, terutamanya bagi golongan rentan atau yang mempunyai kekangan teknologi.

Katanya, individu walk-in yang mempunyai dokumen pengenalan sah akan didaftarkan terlebih dulu dalam sistem MySejahtera di kaunter pendaftaran di PPV sebelum divaksinasi.

"Adalah dimaklumkan bahawa golongan ibu hamil tidak perlu untuk walk-in bagi mendapatkan vaksinasi, sebaliknya janji temu mereka akan diberikan melalui MySejahtera.

"CITF juga ingin mengingatkan bahawa walk-in hanyalah untuk penduduk di Lembah Klang. Individu yang sudah mendapat janji temu adalah tidak dibenarkan untuk walk-in.

"Mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan walk-in sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang," katanya. Dijelaskan bahawa semua tindakan adalah berlandaskan kepada keperluan untuk melindungi penduduk di Lembah Klang dalam zon merah yang mana kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.

Bagi bukan warga negara Malaysia, katanya, tarikh walk-in dibenarkan mulai 9 Ogos hingga 11 Ogos 2021 khusus untuk umur 40 tahun ke atas atau golongan komorbid di Lembah Klang di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV.

Seterusnya 12 Ogos hingga 22 Ogos 2021 semua bukan warga negara Malaysia berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang.

"Dokumen diperlukan untuk warga asing menghadiri PPV walk-in adalah bukti menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang. Contohnya seperti alamat di kad pengenalan diri, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian atau lain-lain lagi.

"Bagi mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, akan melalui proses ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara dikeluarkan oleh CITF.

"Golongan komorbid diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka komorbid seperti kad rawatan atau kad janji temu," katanya.

Selain itu bagi vaksinasi secara walk-in melalui program jangkauan di kawasan pinggir Lembah Klang akan bermula secara berperingkat pada 9 Ogos ini.

Jadual pergerakan, iaitu tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terbabit, seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.

Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor.

Pagi tadi, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksin secara terus tanpa janji temu di Lembah Klang akan memulakan operasi pada 2 Ogos ini untuk golongan 40 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 7:06 PM