GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


Melaka: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini akan diperhebatkan lagi bagi mencapai matlamat imuniti kelompok dengan lebih cepat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, untuk tujuan terbabit, semua warga Malaysia yang tinggal di negeri itu dan berusia 18 tahun ke atas serta masih belum menerima tarikh janji temu, boleh ke mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) untuk mendapatkan vaksin secara 'walk-in'.

Selain itu, katanya, bagi yang bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas yang masih belum menerima tarikh janji temu pula, boleh pergi PPV Mega Stadium Hang Jebat dan PPV Mega Stadium Jasin untuk menerima suntikan vaksin.

"Inisiatif pemberian vaksin secara walk-in ini berkuat kuasa esok dan hanya dibenarkan bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, langkah yang diambil Jabatan Kesihatan negeri dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri itu bertujuan bagi memastikan PICK dapat disempurnakan dengan cepat dan lancar.

Katanya, sehingga kini seramai 69,972 individu daripada 677,400 populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Melaka masih belum menerima vaksin Covid-19.

Justeru, katanya, dengan kemudahan terbaharu itu, kerajaan negeri berharap dapat mencapai liputan 100 peratus golongan dewasa menerima vaksin, seterusnya dapat beralih kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, semua warganegara dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas yang bercadang untuk walk-in perlu terlebih dahulu mendaftar aplikasi MySejahtera.

"Bagi yang belum mendaftar untuk vaksinasi atau yang tidak mempunyai telefon pintar, dibolehkan untuk walk-in di PPV bagi tujuan pendaftaran.

"Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkaitan penyakit kronik (jika ada) ke PPV sebelum menerima suntikan vaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:49 PM