MAZLAN Bujang menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar SPM 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
MAZLAN Bujang menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada pelajar SPM 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di negeri ini sudah menerima dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Johor Mazlan Bujang berkata, hanya 1,767 guru atau membabitkan 3.74 peratus belum menerima vaksinasi.

Menurutnya, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos vaksin sekali gus dianggap perkembangan terbaik.

"Sehingga kini guru-guru memberi komitmen yang baik terhadap penerimaan vaksin berkenaan menjelang pembukaan sekolah yang dijadualkan pada Oktober nanti.

"Saya jangka akhir bulan ini boleh selesai dan bila sekolah buka, 100 peratus (guru) sudah lengkap kedua-dua dos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Kampung Pasir Putih, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, berkaitan pembukaan sekolah, pihaknya bergantung kepada arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya amat yakin KPM akan membuat keputusan tepat berdasarkan perkembangan semasa melalui data serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Persiapan untuk pembukaan sekolah juga sedang dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:59 PM