Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya membenarkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) serta bekalan makanan mentah (BMM) lengkap menerima dos vaksin Covid-19 memasuki kawasan sekolah.

Ia bagi memastikan usaha KPM mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

Arahan itu dikeluarkan melalui satu pekeliling bertarikh 3 September lalu, menyatakan kebenaran itu terpakai untuk penerima dos lengkap sudah melepasi hari ke-14 dari tarikh kedua suntikan untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Dokumen berkenaan yang dimuat naik ke laman sesawang KPM, dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) kementerian itu, Noor Azman Abdul Rahman.

Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin iaitu sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan.

Ia tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berikutan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM memastikan pekerja bawah seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

Minggu lalu, Radzi dilaporkan berkata, guru yang belum atau enggan menerima vaksin Covid-19 tetap perlu ke sekolah seperti biasa dan melakukan tugasan kecuali mengajar secara bersemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:25 PM