ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa banjir keempat yang ditemui di kawasan Keda Sungai Udang. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa banjir keempat yang ditemui di kawasan Keda Sungai Udang. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Mangsa banjir keempat yang hanyut di Titi Hayun di sini, ditemui meninggal dunia hari ini, lima kilometer dari lokasi dia dilapor hilang.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat ditemui pasukan penyelamat pada 3.10 petang di kawasan Keda Sungai Udang.

Katanya, mangsa dikenali Faizal Zohir, 28, yang menetap di Kampung Titi Teras, di sini.

"Penemuannya menjadikan keseluruhan empat orang meninggal dunia, seorang ditemui selamat dan dua lagi masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di sekitar Titi Hayun," katanya di sini, hari ini.


Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, SAR dijalankan pada jarak enam hingga tujuh kilometer disifatkan penyelamatan yang sukar kerana perlu membersihkan sisa banjir secara berhati-hati.

Katanya, ada kemungkinan mangsa tertimbus dalam timbunan kayu, pokok dan lumpur yang memerlukan pencarian teliti, selain pihaknya turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan K9 JBPM.

"Ketika SAR mangsa kedua di Gunung Jerai malam tadi (semalam), anggota berdepan kesukaran apabila keadaan gelap, berlumpur dan permukaan licin," katanya yang memberitahu gergaji berantai turut digunakan untuk memotong dahan pokok yang menghalang pencarian.

Beliau memaklumkan akan menambah khidmat anjing pengesan bagi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:42 PM