Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) itu terbabit dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan mencari mangsa lemas.
Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) itu terbabit dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan mencari mangsa lemas.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikenali sebagai Blake mati selepas mengidap barah limfoma.

Blake yang bertugas di unit Anjing Pengesan (K9) itu terbabit dengan pelbagai misi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk tragedi tanah runtuh di Batang Kali dan mencari mangsa lemas.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Facebook rasminya memaklumkan, Blake dilaporkan mengidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu sempat mengikuti raptai sempena sambutan hari kebangsaan yang lalu.

"Selepas disahkan mengidap barah, Blake sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing berkenaan.

"Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respon kepada ubat dan rawatan yang diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar,"katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Anjing Pengesan Blake kerana kesihatannya yang merosot secara mendadak serta tiada harapan untuk dipulihkan.

"Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang semalam (18 September 2023) dan disahkan sudah tiada hari ini.

"Anjing Pengesan Blake adalah anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada tahun 2017,"katanya.

Katanya, anjing Pengesan Blake banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat (SAR) kepala air di Titi Hayun di Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak di Pahang.

"Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang disumbangkan sepanjang berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 9:42 PM