TAKLIMAT operasi membabitkan pelbagai agensi untuk pencarian dua mangsa dalam kejadian kepala air di Yan diteruskan hari ketiga. FOTO ihsan bomba
TAKLIMAT operasi membabitkan pelbagai agensi untuk pencarian dua mangsa dalam kejadian kepala air di Yan diteruskan hari ketiga. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Titi Hayun, Rabu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi hari ini bermula jam 8 pagi membabitkan 163 orang dari pelbagai agensi.

Beliau berkata, operasi hari ini dipecahkan kepada dua sektor besar iaitu dua pasukan di Titi Hayun manakala dua pasukan di Salak Denai.

"Di setiap sektor pasukan pertama bermula dari hulu ke hilir manakala pasukan kedua dari hilir ke hulu sehingga kedua-dua pasukan ini bertemu di tengah-tengah.

"Operasi membabitkan agensi dari JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, empat mangsa dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai dan Titi Hayun sudah ditemukan manakala dua lagi masih hilang.

Mangsa pertama, Ahmad Din, 64, ditemukan pada jam 6 petang Rabu lalu di Kampung Setol di sini manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di Kilometer 8, Gunung Jerai di Guar Chempedak jam 11 malam.

Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun jam 12.30 tengah malam semalam manakala mangsa keempat ditemui jam 3.10 petang di Keda Sungai Udang, semalam.

Bagaimanapun, usaha mencari dua lagi mangsa iaitu Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah masih diteruskan setakat ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, kepala air dari Gunung Jerai mengakibatkan beberapa kawasan di Yan dan Merbok dilanda banjir kilat dan menyebabkan empat maut manakala dua masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 11:24 AM