GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Selangor membuka 23 kertas siasatan membabitkan sindiket penipuan tawaran kerja sejak 6 Februari lalu sehingga hari ini.

Ketua Jabatan Siastan Jenayah Komersil Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata, 23 kertas siasatan yang dibuka itu membabitkan 21 mangsa dengan nilai kerugian RM219,271.15.

"Polis Selangor berjaya mengesan modus operandi terkini sindiket penipuan yang menggunakan platform e-dagang sebagai medium untuk menipu mangsa.

"Modus operandi sindiket ini adalah menyamar sebagai ejen untuk mencari pekerja sambilan bagi platform e-dagang laman beli belah dalam talian itu.

"Cara sindiket menipu mangsa adalah dengan memberikan beberapa tugasan dan menjanjikan keuntungan sebanyak lapan peratus hingga 15 peratus setelah melengkapkan tugasan itu.

"Mangsa dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka memperolehi pulangan yang dijanjikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, siasatan mendapati mangsa akan menerima pesanan ringkas melalui Whatsapp daripada nombor telefon yang tidak dikenali yang menawarkan kerja sambilan.

"Dalam pesanan Whatsapp itu, terdapat pautan yang perlu ditekan oleh mangsa untuk menghubungi sindiket penipuan ini.

"Setelah mangsa menekan pautan itu, pihak sindiket akan menawarkan kerja sambilan sebagai ejen pembelian dalam talian (online purchasing agent) di mana mangsa akan menerima satu gambar barang yang dijual di dalam laman itu.

"Sindiket akan mengarahkan mangsa membayar harga barangan yang tertera di dalam gambar sepertimana dalam pesanan Whatsapp. Pembayaran ke atas barang itu akan dibuat terus ke dalam akaun sindiket tanpa melalui platform laman terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihak sindiket kemudian akan menerangkan kepada mangsa, tujuan pembayaran barang di dalam tugasan bukanlah untuk pembelian tetapi untuk menaikkan 'rating' barangan terbabit di dalam platform itu.

"Mangsa akan menerima semula kos pembayaran barangan yang dibayar sebelum ini bersama pulangan komisen sebanyak lapan hingga 15 peratus.

"Kebiasaannya, bagi tugasan pertama dan kedua, mangsa akan menerima semula pulangan kos yang dibayar beserta komisen seperti yang dijanjikan.

"Bagaimanapun, apabila masuk ke tugasan ketiga dan seterusnya, sindiket akan berdolak dalik untuk membuat bayaran mana perjanjian, akhirnya sindiket gagal dihubungi," katanya.

Justeru itu katanya, polis Selangor menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berurusan mencari kerja sambilan.

"Orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi semak 'mule' atau melalui laman sesawang https://ccid.mp.gov.my/semakmule/ bagi sebarang urusan membabitkan akaun bank dan nombor telefon sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 5:44 PM