HUTAN Simpan Genting Iboi, Padang Terap yang diratakan secara haram untuk menanam pokok getah. FOTO ihsan JPNK
HUTAN Simpan Genting Iboi, Padang Terap yang diratakan secara haram untuk menanam pokok getah. FOTO ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan lelaki dipercayai mengambil upah meratakan Hutan Simpan Genting Iboi, Padang Terap secara haram untuk menanam pokok getah, semalam.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira 4.30 petang, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan ketika sedang mengendali jentera untuk meratakan tanah.

Menurutnya, pihaknya menyerbu lokasi itu selepas menerima aduan awam sebelum mendapati kira-kira enam hektar tanah sudah diratakan dipercayai dilakukan sejak tiga hari lalu.

"Akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram, kerugian dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.

"Sebuah jentolak yang digunakan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhamad berkata, lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b), Seksyen 81(1)(g) dan Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"JPNK memandang serius aktiviti pencerobohan serta penerokaan hutan simpan kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu-individu yang melakukan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:28 PM