HUTAN Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu, diratakan secara haram dipercayai untuk menanam pokok getah. FOTO Ihsan JPNK
HUTAN Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu, diratakan secara haram dipercayai untuk menanam pokok getah. FOTO Ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang dipercayai mengambil upah meratakan Hutan Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu, secara haram untuk menanam pokok getah, semalam.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan ketika sedang mengendali jentera untuk meratakan tanah.

"Pasukan bertugas melakukan serbuan selepas menerima aduan awam, pemeriksaan mendapati kira-kira 1.2 hektar tanah sudah diratakan dipercayai sudah dilakukan sejak empat hari lalu.

"Akibat kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram, kerugian dianggarkan mencecah RM50,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk siasatan lanjut oleh JPNK.

Katanya, sebuah jentera jenis Excavotar Hitachi yang digunakan untuk kerja-kerja merata dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan.

"Kes ini akan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu di bawah Seksyen 81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selain itu, Muhamad berkata, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Katanya, dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"JPNK amat komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu-individu yang melakukan kesalahan.

"Bagi memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan, penerokaan dan pencerobohan Hutan Simpanan Kekal," tegas beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 12:47 PM