Keadaan hutan simpan yang dirata dan dijadikan teres untuk ditanam pokok getah. FOTO Ihsan JPNK
Keadaan hutan simpan yang dirata dan dijadikan teres untuk ditanam pokok getah. FOTO Ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


LELAKI yang mahu menanam pokok getah di kawasan hutan simpan kekal ditahan bersama dua pekerjanya ketika leka menebang dan meratakan tanah secara haram di Pedu, Padang Terap hari ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani berkata, tiga lelaki berusia antara 36 hingga 57 tahun itu dikesan melakukan penebangan dan meratakan tanah secara haram di Kompartmen 36 Hutan Simpan Padang Terap sejak seminggu lalu.

Katanya, hasil maklumat dan risikan, tiga lelaki tempatan itu ditahan unit penguatkuasaan JPNK pada 11.30 pagi.

“Turut dirampas jentolak dan dua gergaji enjin yang digunakan bagi aktiviti berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal mereka dipercayai melakukan penerokaan bagi menanam pokok getah.

“Dianggarkan pokok di tanah seluas lima hektar ditebang dan dibersihkan tanpa kebenaran. Nilai kerugian RM500,000,” katanya hari ini.

Jentera yang digunakan untuk meratakan tanah secara haram. FOTO Ihsan JPNK
Jentera yang digunakan untuk meratakan tanah secara haram. FOTO Ihsan JPNK

Roslan berkata, ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menebang pokok dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan kekal dan Seksyen 47(1) akta sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 50(1) kerana menggunakan kenderaan bermotor di dalam hutan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:17 PM