Antara kayu yang diproses dari pokok balak yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. FOTO Ihsan JPNK
Antara kayu yang diproses dari pokok balak yang ditebang secara haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. FOTO Ihsan JPNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengesan lapan hektar tanah ditarah oleh penceroboh di kompartment 3, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik untuk ditanam dengan kelapa sawit.

Dalam serbuan yang dilakukan kita-kira jam 3.30 petang semalam turut mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan penduduk Jeneri sejak tiga bulan lalu.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah, berkata tiga lelaki berusia 30-an dilihat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dalam serbuan itu/

"Pelbagai pokok balak antaranya meranti, tembaga, kelat, medang, jelutong ditebang. Beberapa batang kayu yang diproses daripada pokok balak ditebang turut ditemui di kawasan hutan berkenaan.

"Selain itu, sebanyak 320 pokok kelapa sawit yang baru ditanam turut dikesan di hutan berkenaan, siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit melakukan kegiatan itu pada hujung minggu dan hari cuti umum," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad, berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Katanya, jika sabit kesalahan seksyen berkenaan masing-masing memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sebagai tindakan awal, pasukan bertugas sudah mengambil tindakan memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam.

"Laporan polis turut dibuat berkaitan tindakan memusnahkan tanaman berkenaan," katanya.

Muhamad berkata, pihaknya merancang untuk menanam semula pokok hutan yang dimusnahkan di kawasan hutan itu menerusi program restorasi hutan.

Katanya, operasi penguatkuasaan seterusnya akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di kawasan penerokaan dan kawasan 'hot spot' untuk membendung aktiviti pencerobohan dan penerokaan menjadi semakin serius.

"Pihak JPNK juga merancang akan melakukan penyelenggaraan dan penandaan semula sempadan luar Hutan Simpan Kekal (HSK) selain memasang papan tanda amaran dilarang masuk.

"Rondaan secara lebih kerap setiap minggu terutama cuti hujung minggu dan cuti umum juga akan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 4:05 PM