LAMBAKAN rambutan di Tanah Merah dan Jeli menyebabkan harga jatuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LAMBAKAN rambutan di Tanah Merah dan Jeli menyebabkan harga jatuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 2,000 pekebun di Tanah Merah dan Jeli berdepan kerugian dianggarkan RM2.5 juta berikutan berlakunya lambakan rambutan.

Malah, harga rambutan juga jatuh mendadak daripada RM3 sekilogram untuk harga borong pada awal musim iaitu sebulan yang lalu dan kini hanya 40 sen sahaja.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok, Tanah Merah, Zulkifli Yunus berkata, tanaman itu membabitkan kira-kira keluasan 1,000 hektar.

Katanya, harga yang jatuh merudum itu menyebabkan pekebun mengalami kerugian yang banyak.

"Pekebun juga berasa tidak berbaloi untuk mengutip rambutan di kebun kerana perlu menampung pelbagai kos termasuk upah pekerja dan sewa pengangkutan.

"Pelbagai kos yang perlu ditanggung, sedangkan harga jual borong hanya 40 sekilogram. Jadi ia tidak menguntungkan.

"Harga jatuh kerana pada musim ini, rambutan sangat menjadi dan buah terlalu banyak kebun," katanya ketika ditemui di Program Sumbangan Durian kepada petugas media di sini, semalam.

Beliau berkata, disebabkan lambakan, banyak buah yang rosak kerana buah-buahan itu tidak boleh disimpan lama.

Menurutnya, pada masa yang sama, berlaku juga lambakan manggis yang kini hanya dijual pada harga 30 sen sekilogram untuk pemborong.

"Saya memohon pihak berwajib membantu pekebun yang terjejas dengan mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi membantu mengatasi lambakan rambutan dan manggis ini di Tanah Merah dan Jeli.

"Jabatan berkaitan boleh membantu pekebun bukan sahaja dari segi pemasaran tetapi juga dapat memproses rambutan dan manggis untuk dijadikan jem serta jus menerusi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengatasi lambakan buah berkenaan.

"Kami tidak ada kemampuan dari segi kewangan untuk membantu membeli hasil tanaman daripada pekebun tetapi kita berusaha menyuarakan masalah itu untuk diambil perhatian oleh pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Zulkifli berharap pihak jabatan berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau pihak berkaitan dapat memikirkan perubahan baru bagi mengatasi masalah lambakan buah tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:00 PM