JAHADIN (kiri) bersama pekerjanya melakukan pengasingan  duku ke dalam bakul untuk pasaran Johor dan Kuala Lumpur.
JAHADIN (kiri) bersama pekerjanya melakukan pengasingan duku ke dalam bakul untuk pasaran Johor dan Kuala Lumpur.
HM Digital

Kuala Terengganu: Saban tahun, setiap kali musim duku, penduduk Kampung Beladau Selat di sini, akan meraih pendapatan lumayan hasil menjual buah berkenaan.

Bermula awal Oktober, lebih 50 pemilik kebun duku di kampung itu meraih pendapatan sehingga RM1,000 sehari hasil jualan buah berkenaan.

Peniaga, Jahadin Ismail, 49, dari Kampung Beladau Selat berkata, dia menerima dua hingga tiga tan duku daripada pemilik kebun di kampung itu sehari.

“Musim duku tahun ini bermula pada awal Oktober dan dijangka berakhir pada pertengahan November ini. Duku yang diambil daripada pengusaha kebun duku ini dipasarkan ke Johor dan Kuala Lumpur.

“Permintaan terhadap duku Kampung Beladau Selat amat tinggi kerana rasanya yang manis,” katanya.

Jahadin berkata, tiada lambakan duku berlaku pada tahun ini seperti tahun lalu yang menyebabkan pekebun terpaksa menjual kepada pemborong pada harga 50 sen hingga 80 sen sekilogram.

“Kali ini, penawaran banyak tetapi masih tidak mencukupi dan duku dijual pada harga RM3 hingga RM4 sekilogram, bergantung kepada penawaran semasa,” katanya yang mengusahakan penjualan duku secara borong sejak 24 tahun lalu.

Menurutnya, duku yang diambil daripada pekebun itu perlu dipasarkan dan dijual kepada pengguna dalam tempoh tiga hari.

“Sekiranya tidak dihabiskan dalam tempoh itu, ia akan rosak dan tidak boleh dijual. Justeru, harga pasarannya bergantung kepada penawaran, jika terlalu banyak ia perlu dijual murah sebelum rosak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:46 AM