Zulkifli Yunus (kanan) ketika ditemui di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengkalan Chepa di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zulkifli Yunus (kanan) ketika ditemui di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengkalan Chepa di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Masalah lambakan durian di sekitar Jeli dan Tanah Merah dijangka berlarutan sehingga tempoh tiga ke empat minggu lagi.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (Lanas Jedok) Tanah Merah, Zulkifli Yunus berkata, ini berikutan sesetengah kebun di daerah itu yang buahnya baru mulai gugur.

Katanya, kira-kira 1,000 pekebun menghadapi masalah lambakan ketara hingga menyebabkan harga jualan buah itu menjunam, malah dijual antara RM1 hingga RM2 sekilogram dan ada serendah 50 sen.

"Sekarang baru pertengahan musim durian, tetapi sudah berdepan masalah lambakan ini.

"Bagi mengurangkan lambakan saya menyeru kepada dermawan di seluruh negara untuk memborong durian dari Tanah Merah dan Jeli, sekali gus membantu pekebun serta mengelakkan mereka kerugian," katanya ketika ditemui di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pengkalan Chepa di sini.

Terdahulu, Zulkifli mengagihkan sumbangan buah-buahan tempatan termasuk durian, manggis dan rambutan sebanyak dua tan kepada petugas barisan hadapan yang ditaja oleh Pengarah Urusan AK Puyuh Emas, Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikatakan antara faktor menyumbang kepada masalah lambakan berikutan pergerakan terhad untuk melakukan penghantaran kepada pembekal dan pemborong.

Bagi mengatasi masalah buah busuk serta pembaziran, katanya, ada pekebun yang mengambil inisiatif dengan memprosesnya menjadi tempoyak dan lempuk durian.

Media sebelum ini melaporkan durian di sekitar Jeli dan Tanah Merah dijual antara 50 sen hingga RM1.50 sekilogram untuk harga borong, manakala harga runcit sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilogram disebabkan lambakan buah itu.

Sementara itu, mengenai program, Khairan Firdaus memperuntukkan hampir RM3,000 untuk membeli buah-buahan tempatan dan diagihkan kepada petugas barisan hadapan di sini sebagai menghargai pengorbanan dan jasa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:35 PM