GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Peningkatan permintaan kit ujian kendiri Covid-19 mungkin menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Harga kit ujian kendiri wabak itu kini dijual pada harga antara RM35 hingga RM40 sekotak.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga digesa tidak mengambil kesempatan menjual pada harga yang membebankan pengguna.

Menurutnya, dalam suasana pandemik yang masih meruncing selain tekanan ekonomi peniaga perlu bersama membantu masyarakat dengan menjual kit pada harga yang kompetitif.

"Apabila permintaan sesuatu barangan meningkat pasti harga di pasaran pasti akan turut naik.

"Dalam keadaan begini jangan terus mengambil kesempatan kerana ini adalah keperluan kesihatan untuk menangani Covid-19 dan membantu mengurangkan beban fasiliti kesihatan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, peniaga perlu bersama membantu memastikan orang ramai mudah menjalani ujian kendiri berbanding terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi jika dibuat di klinik swasta.

Katanya, dengan adanya kit ujian kendiri ini juga beban fasiliti kesihatan awam boleh dikurangkan kerana ujian boleh dilakukan sendiri.

"Kerajaan juga perlu memantau penjualan kit ujian kendiri ini agar harga yang ditawarkan tidak membebankan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:50 PM