Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peningkatan penggunaan penyembur nyah kuman 'nano mist' dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini berkemungkinan penyebab kenaikan harga produk itu di pasaran.

Alat semburan berkenaan menjadi pilihan masyarakat kerana memudahkan proses disinfeksi di rumah atau kegunaan domestik, susulan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun, ada pihak dilihat cuba menangguk di air keruh apabila menjual peralatan semburan itu pada harga tinggi dan tidak munasabah.

Tinjauan di laman sosial mendapati produk berkenaan didagangkan pada harga antara RM50 hingga RM70, tidak termasuk cecair pembasmi kuman.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, pihaknya menyedari perkara itu dan menasihati peniaga supaya lebih bertanggungjawab agar tidak membebankan pengguna.

Katanya, dalam tempoh sukar ini, peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan menaikkan harga barang, apatah lagi negara masih berhadapan kemelut kesihatan yang tidak menentu.

"Berniaga perlu untung, namun ia tidak seharusnya membebankan pengguna yang memerlukan peralatan itu sebagai alternatif membasmi kuman.

"Peniaga bertanggungjawab perlu bersama-sama membantu masyarakat dan negara keluar daripada krisis Covid-19 tanpa mengambil kesempatan sewenangnya," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berharap kerajaan memantau perkara itu dan mungkin menetapkan harga siling untuk peralatan yang berkaitan kesihatan, seperti dilakukan terhadap kit ujian kendiri Covid-19.

Katanya, percaya dengan penentuan harga maksimum akan melindungi semua pihak terutama pengguna dan tidak pihak akan mengambil kesempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 3:54 PM