KIT Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19. FOTO Arkib NSTP
KIT Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Penurunan harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 boleh membantu masyarakat memantau tahap kesihatan dengan lebih kerap jika mengalami simptom Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Keluarga) Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rosnah Sutan berkata, dengan harga yang murah diharap lebih ramai boleh menjalani ujian kendiri sekali gus memastikan mereka bebas dari wabak berkenaan.

Katanya, jika sebelum ini masyarakat khususnya berpendapatan rendah agak sukar menjalani ujian saringan di fasiliti kesihatan swasta memandangkan harga yang agak mahal.

"Apabila harga kit ujian pantas ini turun membolehkan orang ramai menjalani sendiri ujian dengan kos yang kompetatif.

"Ia juga boleh dijadikan mekanisme pengesanan awal sekiranya seseorang itu berasa diri mereka mengalami simptom Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu harga kit ujian itu juga membantu mengurangkan beban petugas di fasiliti kesihatan awam untuk melakukan ujian saringan.

Katanya, sumber tenaga itu kelak boleh dialihkan untuk aktiviti kesihatan lain yang lebih kritikal.

"Saya berharap orang ramai lebih peka dan segera menjalani ujian kendiri untuk memastikan mereka bebas dari Covid-19.

"Malah harga yang lebih rendah ini membolehkan majikan melakukan saringan secara berkala terhadap pekerja," katanya.

Penyelarasan harga kit ujian pantas ini dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menetapkan harga siling RM19.90 bagi harga runcit maksimum dan RM16.00 untuk harga maksimum borong.

Penetapan itu lebih rendah berbanding harga sebelum ini yang dijual pada harga RM35 hingga RM39.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:37 PM