LEBIH kerap ujian kendiri dijalankan maka lebih mudah seseorang itu boleh mengetahui sama ada sudah dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya. FOTO Arkib NSTP
LEBIH kerap ujian kendiri dijalankan maka lebih mudah seseorang itu boleh mengetahui sama ada sudah dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kematian tanpa mengetahui diri dijangkiti Covid-19 ternyata membimbangkan banyak pihak, khususnya mereka yang terdedah dengan kerjaya dan lokasi berisiko.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, petugas barisan hadapan dan mereka yang terdedah dengan perkumpulan ramai antara golongan berisiko tinggi dijangkiti.

Menurutnya, ini ditambah pula dengan penularan varian Omicron yang menyebabkan seseorang itu dijangkiti Covid-19 tanpa simptom.

"Ujian kendiri lebih kerap antara tempoh tiga hingga empat hari sekali perlu dilakukan untuk memastikan diri bebas Covid-19.

"Covid-19 tidak boleh dikesan dengan hanya sekali ujian kerana virus memerlukan tempoh inkubasi dalam tubuh manusia," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, lebih kerap ujian kendiri dijalankan maka lebih mudah seseorang itu boleh mengetahui sama ada sudah dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya.

Katanya, kit ujian kendiri yang boleh dibeli kini memudahkan proses itu dijalankan di mana saja.

"Golongan yang terdedah dengan orang ramai seperti petugas barisan hadapan dan profesion lain perlu kerap menjalani ujian kendiri.

"Sekarang penularan tinggi namun disebabkan tiada simptom menyebabkan seseorang itu hanya sedar apabila keadaan semakin kritikal.

"Kekerapan ujian kendiri membantu kita memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang terbaik selain membolehkan tindakan segera diambil jika dijangkiti," katanya.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan kira-kira 91 peratus kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) membabitkan individu yang tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19.

Peningkatan kes BID sebelum mendapat rawatan di fasiliti kesihatan adalah membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 12:40 PM