Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Rata-rata farmasi di Pulau Pinang menjual kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 pada harga siling RM19.90 seperti ditetapkan kerajaan.

Justeru, ia melegakan pengguna untuk mendapatkan kit terbabit pada harga berpatutan, sekali gus meringankan beban ketika keadaan ekonomi tidak menentu.

Pelanggan, Fairuz Azmi, 40-an, berkata, kit ujian kendiri pantas antigen Covid-19 adalah satu keperluan yang boleh dikatakan wajib ada di setiap rumah pada ketika ini.

"Ini kerana kita tidak tahu sampai bila perlu hidup dengan Covid-19 dan perlu sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan orang sekeliling selamat daripada virus ini.

"Untuk berasa lebih selamat sudah tentunya kit ini membantu kerana boleh mengetahui keadaan diri sendiri seterusnya boleh menyelamatkan orang lain.

"Jadi dengan penjualan pada harga siling, ia dapat meringankan beban selain memberi kesedaran kepada semua untuk melakukan saringan sendiri dan mengambil langkah perlu jika dijangkiti Covid-19," katanya.

FARMASI di Jalan Macalister menjual kit ujian kendiri Covid-19 pada harga antara RM14.90 hingga RM17.50 yang ia masih berada di paras harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 sekali gus meringankan beban pelanggan yang kurang berkemampuan untuk melakukan ujian saringan. FOTO Mikail Ong
FARMASI di Jalan Macalister menjual kit ujian kendiri Covid-19 pada harga antara RM14.90 hingga RM17.50 yang ia masih berada di paras harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM19.90 sekali gus meringankan beban pelanggan yang kurang berkemampuan untuk melakukan ujian saringan. FOTO Mikail Ong

Sementara itu, pekerja farmasi, Heng Yuin Khee, berkata kerajaan menetapkan harga siling bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90 berkuat kuasa hari ini.

"Harga siling ditetapkan itu bermakna kami tidak boleh jual lebih daripada RM19.90, namun disebabkan situasi ekonomi semasa kami menjual kit ini pada harga RM14.90 hingga RM17.50 bagi setiap set mengikut jenama diinginkan pelanggan.

"Harga lebih murah ini diharapkan dapat membantu meringankan beban pelanggan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri Covid-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:33 PM